Saya yakin saya dicalonkan semula untuk PRN17: ADUN Petagas

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari menyatakan keyakinan tinggi bahawa beliau akan kekal menjadi ADUN dan dipilih menjadi calon bagi DUN Petagas untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Saya sangat yakin saya akan dicalonkan lagi sebagai calon ADUN kawasan ini kerana saya sedia untuk mempertahankan kerusi ini dan menyumbang kemenangan kepada parti.

“Saya tidak pernah menyatakan bahawa saya akan bertanding sebagai calon bebas andai tidak dicalonkan kerana saya telah berjumpa Ketua Menteri semasa sidang DUN baru-baru ini dan ini sebenarnya sudah banyak kali dan saya yakin saya calon Petagas,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir dalam perlawanan akhir bola sepak terbuka amatur DUN Tanjung Aru, di sini, malam tadi. 

Menurut beliau, sebagai ahli parti, beliau bagaimanapun akur dengan segala keputusan parti.

“Sebagai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat DUN Tanjung Aru, saya faham dan akur, sememangnya segala keputusan berkaitan penentuan kerusi adalah terletak di tangan Presiden yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita ikut dan jadi ahli parti sebab kita yakin dan percaya kepada kepimpinan yang boleh membawa perubahan,  membangunkan politik negeri Sabah dan paling penting adalah memelihara hak kita di Sabah.

 “Betul, banyak kebimbangan rakyat berkenaan hal siapa calon di Petagas adalah yang jadi calon nanti bertanding untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), atau  Pakatan Harapan (PH) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya lagi.

Dalam pada itu, Awang turut memberitahu bahawa fokus utama masa kini adalah memastikan jentera pilihan raya bergerak aktif bagi kesemua tiga kerusi dalam

Bahagian Tanjung Aru termasuk Petagas, Tanjung Keramat dan Tanjung Aru.

“Yang penting sekali adalah kita mahu ketiga-tiga kerusi ini menyumbang kemenangan kepada GRS.

“Dan kita juga mahu, calon yang menjadi calon kelak adalah calon yang boleh berkhidmat, menyampaikan apa yang perlu untuk rakyat dan boleh menjadi pemimpin,” jelasnya.

Selain itu, Awang berkata pengalaman politiknya di DUN Tanjung Aru amat besar dan beliau yakin beliau mempunyai kepercayaan daripada rakyat dan akar umbi.

“Saya pernah bertanding dua kali di kawasan itu pada tahun 2004 dan 2008 dan masa 2004 itu, saya bertanding di peringkat DUN dan Parlimen dan walaupun undi tidak banyak, saya tidak hilang deposit.

“Pada 2008 pula, undi saya hampir dua kali ganda, sekitar 3,500 undi, walaupun sebenarnya pada ketika itu saya tidak ada sumber kewangan yang cukup dan kerana itu saya terhad untuk bergerak, ini juga punca kurang dapat undi di Pulau Gaya,” ujarnya lagi.

Tinggalkan komen