Pertandingan Golf Kaamatan, bantu dana mesin hemodialisis Hospital Lahad Datu

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Dalam suasana penuh kebersamaan, Pertandingan Golf Kaamatan di Lahad Datu Golf & Country Club berjaya menghimpunkan 160 pemain golf dari seluruh Sabah dengan matlamat mengutip dana bagi membeli mesin hemodialisis untuk Hospital Lahad Datu.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 19 Julai lalu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sektor korporat serta pertubuhan bukan kerajaan. 

“Acara ini bukan sekadar kejohanan golf tetapi menjadi medan mengukuhkan perpaduan dan menyemai semangat kebajikan di kalangan masyarakat.

“Penganjuran ini bukan hanya untuk bersukan tetapi untuk membantu pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan mesin hemodialisis di Lahad Datu. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sumbangan sama ada dalam bentuk dana, tenaga mahupun sokongan moral,” kata Komander ESSCOM merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Victor Sanjos.

Jelasnya, acara itu turut diserikan dengan persembahan budaya oleh komuniti etnik tempatan seperti Kadazandusun, Kokos dan Dusun Begahak yang mempamerkan keunikan budaya daerah ini kepada para peserta dan tetamu yang hadir.

Katanya kejayaan program itu membuktikan bahawa gabungan kerjasama agensi keselamatan, komuniti perniagaan dan orang ramai mampu membawa perubahan positif dalam menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk.

Yang Dipertua ASEAN Chamber of Commerce and Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening pula yakin kejohanan itu akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kebajikan seumpama ini di daerah-daerah lain.

“Saya percaya melalui paduan semangat dan sokongan komuniti, usaha murni seperti ini mampu diteruskan setiap tahun demi kesejahteraan rakyat di Sabah,” katanya. 

Tinggalkan komen