Ibu buang mayat bayi pra-matang ditahan

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan berusia 30 tahun ditahan pihak polis selepas dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkannya di hadapan sebuah rumah di Kampung Burung, Jalan Bakawali di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.06 pagi pada 18 Julai, polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemukan seorang bayi masih bernyawa di lokasi tersebut.

“Bayi itu segera dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.02 malam hari sama akibat dilahirkan pra matang dengan berat badan terlalu rendah,” kata Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail.

Beliau turut memaklumkan bahawa suspek ditahan pada 20 Julai di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu hasil maklumat dan siasatan awal.

“Siasatan mendapati wanita berkenaan melahirkan bayi tersebut di rumahnya sebelum meletakkannya di luar rumah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Lahad Datu bagi membantu siasatan lanjut yang sedang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih peka terhadap isu buang bayi dan digalakkan mendapatkan bantuan pihak berwajib bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.

Tinggalkan komen