Enam selamat selepas bot fiber bocor

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Enam orang berdepan detik cemas apabila bot fiber yang mereka naiki mengalami kebocoran selepas terlanggar kayu hanyut di Perairan Pulau Timbun Mata, Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.45 petang daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu yang memaklumkan bot berkenaan sedang menghantar bekalan air reverse osmosis (RO) ke Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum berlaku insiden.

“Bot ronda BANGGI 45 yang sedang membuat rondaan rutin dikerah ke lokasi dan berjaya menemui keenam-enam mangsa di Perairan Pulau Batik. 

“Ketika itu mereka berada dalam keadaan bot yang sudah hampir tenggelam namun masih selamat dengan bantuan pam bot kerana laut cetek menyukarkan pergerakan keluar.

“Tiga mangsa termasuk Lajim Paisal, 37, bersama dua anaknya berusia 10 dan 6 tahun dihantar pulang ke jeti Perikanan Lahad Datu, manakala tiga lagi iaitu Adim Salemu, 42, Aswan Mohd Akram, 29, dan Fauzi Saikula, 30, menunggu bot syarikat tiba ke pulau berkenaan untuk kerja baik pulih sebelum kesemuanya selamat tiba di darat pukul 2 pagi,” katanya. 

Dzulfikhar mengingatkan semua pengendali bot supaya memastikan keselamatan kru dan penumpang sentiasa diutamakan dengan memakai jaket keselamatan setiap kali berada di laut.

Beliau turut menggesa orang ramai agar segera menyalurkan maklumat jika berlaku sebarang kecemasan atau insiden jenayah di laut supaya tindakan segera dapat diambil.

Tinggalkan komen