Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Kegiatan sabung ayam yang dipercayai menjadi medan perjudian haram di daerah ini terbongkar selepas pasukan polis bersama beberapa agensi penguat kuasa berjaya merampas ratusan ayam sabung di dua lokasi berbeza dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM3.28 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Sri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan dilakukan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam pada 18 Julai lalu sekitar pukul 2.30 petang.
“Operasi tersebut turut disertai pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am Tawau dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Tawau yang menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Apas Parit.
“Hasil serbuan pertama membawa kepada penahanan empat lelaki iaitu dua warga Indonesia dan dua warga Filipina berusia antara 31 hingga 52 tahun.
“Turut dirampas 470 ekor ayam sabung dipercayai baka dari Filipina, 40 bilah pisau taji ayam, 130 kotak, 50 botol pelbagai jenis vitamin serta 500 unit sangkar kecil ayam sabung,” katanya.
Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Membalua, Off Jalan Apas, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun turut ditahan bersama 152 ekor ayam sabung hidup yang juga dipercayai diseludup dari Filipina.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kes berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana mengimport haiwan tanpa lesen, Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji dan bekerja tanpa permit sah serta kesalahan memiliki bilah pisau dipercayai taji ayam di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan perjudian sabung ayam yang masih aktif di beberapa kawasan di Sabah.
