PITAS: Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata model politik baharu berteraskan perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan komuniti Bumiputera Sabah merupakan kunci kepada pembangunan mampan dan keterwakilan yang adil.
“Apa yang saya mahu tekankan adalah amalan sistem politik yang inklusif.
“Namun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, corak dominasi politik mula kelihatan dan menyebabkan sebahagian kumpulan Bumiputera berasa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika program Radu Tatap Radu yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Senaja, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka, di sini, hari ini.
Menurut Salleh, gabungan BN–Pakatan Harapan (PH) plus membawa formula politik baharu berasaskan tolak ansur dan bukan dominasi.
“Tiada mana-mana kumpulan akan dipinggirkan, walau sekecil mana pun,” katanya.
Salleh turut menggesa semua kumpulan Bumiputera termasuk Dusun, Murut, Bajau, Suluk, Iranun, Kadazan, Rungus dan lain-lain untuk bekerjasama dan tidak menjadi tamak dalam merebut kuasa.
“Perjuangan kita ialah meletakkan Sabah No.1 – mendahulukan rakyat, perpaduan, dan masa depan bersama.
“Pelantikan politik perlu berpaksikan prinsip yang tersusun dan inklusif, bukan sekadar memburu jawatan atau kuasa mentah, tetapi atas dasar keadilan dan keikhlasan untuk berkhidmat,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan Bengkoka sebagai contoh terbaik kawasan Bumiputera pelbagai kaum yang boleh mendapat manfaat besar daripada model itu.
“Prinsip ‘pemenang tidak mengambil semua’ akan menjamin kepimpinan yang dikongsi dan keharmonian yang berkekalan dan penting untuk kerjasama komuniti bukan Bumiputera bagi keharmonian dalam kemajuan negeri.
“Sabah mesti maju sebagai satu keluarga – dengan maruah, kesaksamaan, dan tanggungjawab bersama.
Lebih 500 orang penyokong akar umbi hadir memberikan sokongan semasa program itu.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Datuk Ir. Abdul Aziz Julkarnaian, Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azwan Norjan, Ketua Pemuda UMNO Sabah Sufian Abdul Karim, Ketua UMNO Bahagian Kudat Datuk Harun Durabi serta para pemimpin tempatan dari seluruh kawasan Bengkoka.
