Oleh: Sumayyah Rihanna
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan manakala sebuah motosikal disita selepas didapati melakukan pengubahsuaian berlebihan yang menjejaskan ciri keselamatan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan polis di sekitar daerah ini.
Superintendan Sammy Newton berkata, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bersama sepasukan anggota BSPT Penampang itu dijalankan di Jalan Pintas Penampang, Pekan Donggongon Penampang dan Jalan Papar – Kota Kinabalu, Putatan.
“Motosikal berkenaan disita di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas pemeriksaan mendapati ia diubah suai secara berlebihan hingga mengancam aspek keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Katanya lagi, sebanyak lima saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas enam buah motosikal sepanjang operasi dijalankan.
Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan pesalah lalu lintas serta menunjukkan kehadiran polis di kawasan tumpuan bagi mencegah aktiviti jenayah di sekitar pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Operasi juga bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman penduduk setempat,” katanya.
Katanya, polis akan terus komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin melalui tindakan penguatkuasaan berterusan di daerah ini selaras dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
