Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak mengugut jirannya dengan sebilah pisau dalam kejadian di Taman Ria 3, di sini, pada Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 8.27 pagi apabila mangsa, seorang lelaki berusia 35 tahun, menyedari keretanya diconteng dan dicakar suspek.
“Cubaan mangsa menegur suspek bagaimanapun mengundang detik cemas apabila suspek berusia 44 tahun itu mengacukan pisau sambil menghamburkan kata-kata ugutan sehingga mangsa berasa terancam dan bimbang keselamatannya.
“Mangsa yang ketakutan terus membuat laporan di Balai Polis Tawau sebelum suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 3.15 petang di kawasan bersebelahan rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Menurut Champin, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah di bawah Akta Pencegahan Dadah (APD) dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) masing-masing pada 2012 dan 2025.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
