Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Seorang lelaki dicekup polis selepas disyaki membawa dadah jenis syabu dalam satu serbuan di kawasan pesisir pantai Jalan Pantai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut beliau, suspek ditahan sepasukan polis diketuai Inspektor Romi Asparin selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah bot berwarna kuning berhampiran tandas awam.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemui sebuah beg silang merah berjenama SUPREME yang dipakainya.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu sampul surat putih berjalur merah biru berisi 22 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 51.68 gram, selain satu paket plastik mengandungi sepuluh gulung kertas timah.
“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin san metafetamin dengan nilai anggaran rampasan berjumlah RM5,684.80,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala kes penggunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut.
