Kukuh kerjasama GLC dengan KPM, bantu pendidikan luar bandar

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Kerjasama erat antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat diperlukan bagi memperkukuh pembangunan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pulau.

Focal Person Daerah Semporna, Hatta Lisani berkata, di seluruh negara terdapat banyak GLC yang mampu membantu KPM melalui pejabat pendidikan daerah dalam usaha meningkatkan kualiti sekolah serta kebajikan warga pendidik di kawasan pedalaman.

“Tidak dinafikan Semporna kini mengalami banyak perubahan positif terutama dari sudut infrastruktur sekolah dan pelbagai sokongan lain, namun saya melihat masih banyak ruang untuk GLC tampil membantu memastikan sekolah-sekolah di kawasan terpencil dan pulau tidak ketinggalan daripada arus pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) Pejabat Pendidikan Daerah Semporna berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Apresiasi Sanjungan Akademik (MASA) bagi meraikan guru-guru Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Daerah Semporna bagi tahun 2024, baru-baru ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, Rozita Anjuh pula berkata majlis penghargaan seperti ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada jasa guru tetapi juga menjadi medium mengeratkan hubungan baik antara warga pendidik, pihak pentadbiran dan pemimpin setempat.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Harman Mohammad turut hadir memeriahkan majlis tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan pendidikan di daerah ini.

Seramai 305 orang guru SPM dan STPM dari seluruh Semporna hadir meraikan kejayaan dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa.

Tinggalkan komen