Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Dua lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tawau Lama, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau sekitar pukul 12.45 tengah hari.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 0.11 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Champin, kedua-dua suspek yang berusia antara 44 hingga 54 tahun turut didapati positif dadah jenis amfetamin dan metafetamin hasil ujian saringan air kencing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Beliau berkata, meskipun jumlah rampasan kecil, pihaknya memandang serius setiap aktiviti penyalahgunaan dadah kerana ia sering menjadi pintu masuk kepada jenayah lain yang lebih serius.
Champin turut menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah agar usaha membanteras gejala itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
