Pusat informasi pelancong bakal dibina

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Sebuah Pusat Informasi Pelancong akan dibina di Lahad Datu bagi memenuhi keperluan pelancong yang semakin meningkat dari dalam dan luar negara.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Bennety Mohd Dzul berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang untuk memperkukuh sektor pelancongan di daerah itu.

“Ini adalah usaha untuk mengukuhkan sektor pelancongan tempatan di daerah ini dan ini juga adalah komitment kita untuk menangani isu kebersihan, pengurusan sampah serta komuniti tanpa negara (Palauh),” katanya. 

Firuz yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Lahad Datu berkata demikian ketika hadir merasmikan penutupan Kursus Pembangunan Pakej Pelancongan: Strategi Harga dan Pemasaran Digital di sini, semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa tahap keselamatan yang terjamin hasil kerjasama ESSCOM dan semua agensi keselamatan lain telah berjaya mengekalkan Lahad Datu dan keseluruhan kawasan ESSZONE dalam keadaan selamat tanpa ancaman jenayah rentas sempadan, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk menarik kehadiran pelancong.

Hadir sama ialah wakil Lembaga Pelancongan Negeri Sabah dan Presiden Persatuan Pelancongan Lahad Datu, Joe Wong.

Joe semasa berucap turut memaklumkan bahawa pihak persatuan kini bersedia menerima pelancong Eropah untuk produk pelancongan berasaskan laut.

“Lahad Datu mempunyai kawasan perairan yang indah dan unik dan kita sedia untuk menerima kemasukan pelancong dari Eropah,” katanya. 

Menurutnya, usaha itu dibuktikan dengan kemasukan pelancong dari Eropah yang bukan sahaja datang ke destinasi hutan seperti Lembah Danum dan Tabin, malah kini mula memilih untuk melakukan aktiviti selaman di Blue Ring Reef yang diiktiraf antara terindah di dunia.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Sumi Suria Dive and Tours Sdn. Bhd., Robin Demowal dan Sabar Jiran berkata, syarikat mereka kini menerima kemasukan pelancong dari Itali, Belgium, malah minggu depan kumpulan pelancong dari Jerman pula dijadualkan tiba bagi menikmati keindahan pelancongan laut di Lahad Datu.

“Perkembangan ini amat positif kerana sebelum ini kebanyakan pelancong Eropah lebih tertumpu kepada produk pelancongan hutan seperti Lembah Danum,” jelasnya.

Kursus yang berlangsung dari 15 hingga 17 Julai itu menghimpunkan para pengusaha industri pelancongan tempatan bagi merangka idea, strategi serta pelan tindakan untuk terus memacu pembangunan sektor pelancongan di daerah itu.

Tinggalkan komen