Khidmat bakti konsisten untuk semua: UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, Rahia Arpaih berkata parti itu akan terus konsisten dalam memberi khidmat bakti kepada rakyat tanpa melihat jurang sosioekonomi dan lokasi.

“Dalam politik, ada dua jenis pemimpin iaitu yang muncul kerana agenda, dan yang kekal kerana amanah.

“UMNO BN tergolong dalam kelompok kedua iaitu parti yang tidak menunggu musim pilihan raya untuk menunjukkan wajah, kerana wajah kami sudah sedia bersama rakyat sejak dahulu.

“Bantuan melalui konsep “keluarga angkat” yang kini cuba disindir sesetengah pihak adalah cerminan budaya UMNO BN yang telah berakar puluhan tahun adalah satu bentuk solidariti praktikal, bukan mainan politik,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, warisan nilai yang dibina atas dasar kasih sayang dan keprihatinan kepada rakyat dan bukan hanya direka untuk menjadi ‘gula-gula’ musim pilihan raya.

“Berbeza dengan pendekatan politik GRS yang lebih mementingkan persepsi dan publisiti daripada penyelesaian sebenar. 

“Apa yang tinggal hanyalah pengumuman demi pengumuman yang sedap didengar, ibarat bertelur sebiji, riuh sekampung tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat di perkampungan. 

“Rakyat Kinabatangan sudah matang menilai. Mereka tahu beza antara parti yang baru muncul dan parti yang kekal bertahan ketika rakyat memerlukan pertolongan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa UMNO-BN sudah membuktikan segala usaha membawa pembangunan kepada Sabah dan usaha murni itu akan diteruskan jika masih diberikan mandat oleh rakyat

“UMNO BN tidak perlu heboh sana sini tentang pembangunan, kerana yang membina tidak perlu membuktikan dengan kata-kata. Cukup dengan rekod. Cukup dengan sejarah. 

“Dan cukup dengan realiti hari ini, di mana UMNO BN terus turun padang tanpa perlu menunggu musim pilihan raya.

“Tambahan pula, hubungan yang stabil dan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah faktor penting yang dapat mempercepat serta memperluaskan pembangunan di kawasan luar bandar seperti Kinabatangan,” jelasnya.

Tinggalkan komen