KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menziarahi keluarga mangsa, Zara Qairina yang disahkan meninggal dunia selepas dipercayai jatuh daripada tingkat 3, bangunan sekolah di sebuah sekolah berasrama di Papar.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian anakanda Zara Qairina. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini.
“Saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga terpelihara.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga termasuk dalam aspek sokongan psikososial,” katanya dalam sebuah hantaran di laman media sosial Facebook miliknya, pagi tadi.
Fadhlina juga berkata, kejadian kini sedang berada dalam siasatan pihak polis dan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Saya menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi pada waktu ini yang mungkin boleh menggangu siasatan.
“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut,” katanya.
