Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup hasil laut dari Filipina dan mengekang kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) dalam dua operasi berasingan di perairan Pantai Timur negeri ini.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata kejayaan itu hasil risikan yang membawa kepada penahanan empat bot di perairan Pulau Sibangkat, Semporna sekitar pukul 6.30 pagi semalam.
Beliau berkata seramai lapan warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup masuk 824 ekor udang lipan (Mantis Shrimp) dan udang karang (Lobster) dianggarkan bernilai lebih RM116,000.
Katanya semua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada Jabatan Perikanan dan kes kini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
“Dalam operasi berasingan, PPM Sabah turut menahan seorang lelaki bersama sebuah lori bonded jenama Isuzu yang membawa lebih 600 liter CPO di dalam tangki dan tong tanpa dokumen sah.
“Operasi bersepadu bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu itu berjaya menumpaskan cubaan menyeleweng minyak sawit mentah bernilai RM124,100.
“Dengan rampasan terbaharu ini, jumlah keseluruhan rampasan CPO oleh PPM Sabah sejak Januari tahun ini kini mencecah RM12.47 juta,” katanya.
Mohd Nazri menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh operasi membanteras jenayah penyeludupan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.
