Buang bayi, melacur dan judi dalam talian, polis siasat suspek serentak

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lahad Datu kini giat menjalankan siasatan terhadap tiga kes jenayah berasingan di daerah ini melibatkan kes buang bayi, kegiatan pelacuran dan perjudian atas talian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian pertama, seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Burung, Jalan Bakawali, awal pagi tadi kira-kira pukul 3.06 pagi.

“Bayi tersebut ditemui oleh orang awam sebelum diselamatkan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. 

“Keadaan bayi kini dilaporkan stabil.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi dengan niat untuk membuangnya secara kekal yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya. 

Dalam kejadian berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu telah menjalankan Op Noda di sebuah hotel di Bandar Lahad Datu pada 17 Julai lalu sekitar pukul 10.30 malam.

“Seorang wanita tempatan berusia 21 tahun ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi MiChat dengan bayaran antara RM250 hingga RM350. 

“Turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit, beberapa keping kondom dan sejumlah wang tunai.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari sama sekitar pukul 2.30 petang, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan di Lorong Lahad Datu Square 1 kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

Polis turut merampas satu unit telefon pintar yang mengandungi aplikasi perjudian. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Dzulbaharin menegaskan bahawa pihaknya memandang serius semua bentuk jenayah yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat, terutamanya jenayah sosial membabitkan penganiayaan bayi, pelacuran dan perjudian. 

“Kita akan ambil tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil demi menjamin keselamatan dan keharmonian komuniti setempat,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen