KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu bahawa UMNO Sabah mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini.
“Sebagai seorang pemimpin kanan UMNO dan sahabat saya yang telah lama bersama dalam perjuangan parti, beliau mempunyai hak sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan peribadi beliau.
“Dalam sebuah parti yang percaya kepada amalan demokrasi, keterbukaan seperti ini adalah tanda kematangan politik kita.
“Saya faham bahawa beliau merujuk kepada peristiwa yang berlaku pada tahun 2022, dan menggunakan contoh tersebut sebagai gambaran wujudnya perbezaan pandangan antara kami pada ketika itu dan sebagai rakan seperjuangan dan sahabat lama dalam parti, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang biasa. Apa yang penting ialah bagaimana kita menyelesaikannya dengan berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Bung, keputusan yang diambil ketika itu bukan sebuah keputusan yang bersifat peribadi, tetapi hasil daripada persetujuan bersama kepimpinan UMNO Sabah setelah mempertimbangkan segala implikasi secara menyeluruh.
“Perkara itu sudah berlalu. Kita menghormati sejarah, tetapi kita tidak akan menjadi tawanan kepada masa silam.
“Kami juga sedar terdapat media cuba memutar kembali cerita lama ini untuk mencorakkan naratif mereka.
“Namun saya ingin tegaskan, UMNO Sabah hari ini kekal bersatu, fokus, dan komited sebagai satu pasukan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) yang akan datang,” katanya lagi.
Tambah beliau, Misi UMNO Sabah adalah satu iaitu, untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Kami sudah bersedia dengan jentera akar umbi yang kukuh, semangat yang diperbaharui, dan agenda yang jelas untuk mengembalikan maruah serta tadbir urus yang berkesan di bawah kepimpinan nasional yang kuat.
“Dalam landskap politik hari ini sama ada di Sabah, Malaysia, mahupun di peringkat global rakyat lebih menghargai pemimpin yang menawarkan penyelesaian, bukan yang terperangkap dengan masa lalu.
“Sebab itu UMNO Sabah memilih untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, dan sebahagian daripada masa depan,” ujar beliau lagi.
