Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam mengembangkan bakat-bakat cemerlang sedia ada dengan perancangan dan pelan strategik yang mampu menyumbang kepada usaha membangun industri kreatif tempatan.

“Kita ada tradisi budaya yang unik, dan kita juga ada khazanah alam yang luar biasa yang mana setiap satunya ada potensi yang boleh digilap dengan hala tuju dan pelan strategik yang boleh digerakkan pelbagai pihak.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri tidak boleh bergerak sendiri, kita perlu ada kuasa (leverage) kepada pemegang taruh yang ada, dan saya melihat hal ini akan menjadi suatu usaha yang boleh dikembangkan dengan jayanya apabila keberadaan pihak Ten Star Cinema di Sabah.
“Dengan pelaburan yang mereka bawa di Sabah ini, dengan kepakaran yang ada, saya melihat Ten Star Cinema boleh menjadi salah satu daripada pemegang taruh yang strategik untuk kita bangunkan industri kreatif di Sabah, contohnya pemilihan pelaburan berani mereka bila mereka mewujudkan rangkaian pawagam di enam kawasan luar bandar, yang mana kita tidak pernah terfikir sebelum ini,” katanya.

Armizan berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Filem Pendek Sabah dan Tayangan Perdana Filem Impak Maksima 2, di sini, malam tadi.
Menurut Armizan yang juga merupakan Ahli Parlimen Papar, keberanian pihak Ten Star Cinema membuat pelaburan lebih RM100 juta itu turut menggambarkan komitmen dan keyakinan mereka terhadap Sabah.

“Ini semangat yang ada dari Ten Star Cinema untuk membantu kepada usaha pembangunan industri kreatif dan kita juga rasa perlu ada kuasa (leverage) kepada pengalaman dan kepakaran untuk kita bangunkan industri kreatif di Sabah, dan ini yang saya ambil sebagai tanggungjawab, melalui portfolio saya sebagai menteri KPDN, saya akan berusaha untuk memberi syor kepada usaha pembangunan industri kreatif di Sabah kepada Kerajaan Negeri dan Kementerian Komunikasi di peringkat Persekutuan.
“Saya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Dr. Ahmad Idham sebelum ini dalam perjumpaan kita kerana saya ingin mereka membantu menyediakan hala tuju tersebut untuk kita angkat kepada Kerajaan Negeri, kerana yang paling penting adalah perlu wujud jalinan kerjasama (engagement) yang melibatkan para penggiat seni kreatif di Sabah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Armizan juga menegaskan bahawa usaha membangunkan industri kreatif Sabah juga berpotensi untuk membantu merancakkan pembangunan ekonomi rakyat.
“Sumber pendapatan juga industri kreatif ini dan bila kita bercakap soal sara diri, bukan sekadar harga barang-barang tetapi rakyat perlu untuk mempunyai sumber pendapatan dan kita lihat industri kreatif ini adalah satu cara untuk kita jana pendapatan rakyat.
“Kerana itu saya bawakan hari ini, pelakon-pelakon Impak Maksima 2 hadir dan buat tayangan perdana di sini, saya belanja orang-orang Papar untuk tengok wayang ini, tayangan pertama di Papar malam ini dan boleh beramah mesra bersama pelakon-pelakon kita kerana saya ingin kita tahu, industri kreatif amat luas dan banyak perkara boleh dibincangkan,” jelas Armizan.
Tambah beliau lagi, usaha untuk mewujudkan hub industri kreatif atau pusat kebudayaan adalah antara usaha yang boleh menyumbang kepada kewujudan ekosistem industri kreatif yang sihat dan wajar untuk semua bakat-bakat tempatan Sabah.
“Ramai pelakon dan pembikin filem luar negara datang ke Sabah untuk tujuan penggambaran, dan inilah yang membuatkan saya rasa, perlunya dan pentingnya untuk wujud hub industri kreatif di Sabah, kita pertimbangkan di Papar, kerana kita perlu bina ekosistem dalam bentuk infrastruktur yang menyeluruh, tidak semestinya di semua kawasan tapi cukup sekadar ada satu kawasan yang sesuai.
“Kita rancang, hub industri kreatif ini bagus untuk Sabah dan hub ini kelak mampu jadi satu skop untuk pemikir berusaha mewujudkan rangkaian untuk kita bantu bakat-bakat tempatan kita supaya mereka boleh kembangkan lagi bakat mereka, karya mereka.
“Inilah yang saya maksudkan, sebuah ekosistem yang kolistik dan kondusif,” tambahnya.

Tayangan Filem Impak Maksima 2 bermula di semua pawagam seluruh negara hari ini dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Eizlan Yusof sebagai Abang Joe, Zul Huzaimy sebagai Ray, Fad Bocey sebagai Naim, Dynas Mokhtar sebagai Maria dan ramai lagi termasuk Riezman Khuzaimi sebagai Adam, Man Raja Lawak dan Opie Zami, yang diarahkan oleh Ahmad Idham.
Selain itu, Impak Maksima 2 juga turut memperkenal barisan pelakon muda dengan bakat besar seperti Arfie Shah sebagai Rudy, Muhsin Nadzli sebagai Rio dan Nelissa Nizam sebagai Gia.
Filem aksi Impak Maksima 2 yang juga ditulis skripnya oleh Ahmad Idham ini, diterbitkan oleh Screen Studio Sdn. Bhd.
Jadi tunggu apa lagi, jom ke pawagam berhampiran dan sokong industri filem tanah air kita.
Selamat maju jaya untuk Team Impak Maksima 2, jiwa kelajuan selamanya.
