Tamu Desa di Kota Belud, wadah ekonomi usahawan tempatan

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan tiga premis Tamu Desa, masing-masing di Kampung Takulung, Kampung Lasau dan Kampung Rosok.

Tiga Tamu Desa itu merupakan sebahagian daripada 22 premis Tamu Desa yang dibina baharu dan dinaik taraf di sekitar Kota Belud dalam Fasa 1 dan Fasa 2, melibatkan peruntukan sejumlah RM4.749 juta, tahun 2024.

“Secara keseluruhan KUSKOP telah membina baharu dan menaiktaraf sebanyak 98 Tamu Desa di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM19 juta di bawah Belanjawan 2024.

“KUSKOP akan terus komited dalam membangunkan prasarana usahawan luar bandar, dan tahun ini, kementerian telah mengenal pasti 46 tapak baharu Tamu Desa di Sabah untuk dibina dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Tamu Desa Kampung Rosok, di sini, hari ini.

Terdahulu itu Ewon merasmikan Tamu Desa Kampung Takulung dan Tamu Desa Lasau yang kedua-duanya menggunakan konsep dewan Terbuka.

Ewon berharap, kemudahan Tamu Desa itu akan memberi keselesaan yang lebih baik kepada para peniaga dan pengunjung.

Tamu Mingguan Tamu Desa Takulung diadakan setiap Selasa, Tamu Desa Lasau setiap hari Rabu dan Tamu Desa Rosok beroperasi setiap Khamis.

“Selain digunakan oleh usahawan-usahawan tamu, kemudahan ini juga boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti lain seperti sukan, keramaian, taklimat dan perjumpaan-perjumpaan rakyat,” katanya lagi.

Di Kampung Lasau Minunsud, Ewon turut melancarkan Happy Hour Jualan MADANI Koperasi dengan diskaun sebanyak 50 peratus semua jenis barangan, sebagai sokongan berterusan kementerian terhadap koperasi dan usahawan tempatan  serta membantu mengurangkan bebanan rakyat.

Pada majlis perasmian ketiga-tiga premis Tamu Desa itu, Ewon turut meluangkan masa menyantuni usahawan dan membeli barangan jualan mereka sebagai sokongan kepada usahawan tempatan. 

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Saidatu Akhma Hassan, ketua-ketua dan wakil-wakil agensi KUSKOP serta pemimpin setempat.

Tinggalkan komen