KOTA KINABALU: Setiausaha Penerangan UMNO Sabah merangkap Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, Rahia Arpaih meminta agar fokus utama yang dilakukan oleh kerajaan adalah menyelesaikan masalah asas yang dihadapi oleh rakyat terlebih dahulu.
“Saya menyambut baik hasrat membangunkan bandar baharu di Kinabatangan walaupun kini masih belum kelihatan bayangnya.
“Pembangunan yang dirancang dengan bijak sememangnya mampu merangsang ekonomi setempat dan membawa limpahan manfaat kepada rakyat.
“Namun, perlu ditegaskan pembangunan tidak boleh didirikan atas infrastruktur yang rapuh, lebih-lebih lagi apabila rakyat masih terperangkap dengan masalah asas yang belum diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, masalah air, elektrik dan jalan raya, umpama penyakit tiga serangkai dan bukan lagi isu baharu.
“Ia sudah menjadi luka lama yang terus bernanah dalam kehidupan harian rakyat luar bandar, khususnya di Kinabatangan.
“Bercakap soal bandar baharu tetapi membiarkan paip air kering, jalan berlubang dan elektrik yang kerap terputus bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina rasional rakyat.
“Air, khususnya, perlu menjadi keutamaan nombor satu. Jika di Kota Kinabalu ibu negeri Sabah sendiri pun peniaga terpaksa tutup kedai kerana tiada air, bayangkan nasib rakyat di Kinabatangan. Apa maknanya bangunan baharu jika bilik air tidak berfungsi, dapur tiada bekalan dan pelabur sendiri berdepan risiko operasi?,” katanya lagi.
Jelas beliau, ginik gimik pembangunan yang tidak menyelesaikan keperluan sebenar rakyat.
“Infrastruktur asas bukan pelengkap kepada pembangunan ia syarat asas kepada pelaburan dan kesejahteraan.
“Saya menjangkakan jika masalah tiga serangkai ini terus dipandang sepi, pelabur bukan sahaja tidak akan datang yang sudah ada pun akan cabut lari. Siapa mahu melabur dalam daerah yang tidak mampu bekalkan keperluan paling asas?
“Pemimpin yang hanya pandai melancarkan projek tetapi gagal membekalkan air bersih, bukan layak digelar perancang pembangunan tetapi hanya pelukis pelan atas angin,” ujar beliau lagi.
