Oleh: Zacherlyn Ad
PENAMPANG: Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin memberitahu bahawa pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Kampung Sindaanan, Kobusak Penampang pada petang Selasa.
“Hasil serbuan pada pukul 6.53 petang itu, sebanyak 16,180 liter minyak diesel, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper dan peralatan telah disita dengan nilai keseluruhan berjumlah RM53,527.00.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30an yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Serbuan ini dihasilkan berikutan aduan awam dan hasil risikan yang telah dijalankan oleh selama satu minggu oleh Pejabat KPDN Negeri Sabah dan siasatan awal mendapati premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak agar tidak menjual minyak petrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDN.
“Siasatan dan tindakan di bawah subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pelanggaran subperaturan 12A Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku Peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat.
“KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan petrol RON95 dan minyak diesel diseluruh Negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” jelasnya.
Tambah beliau, sejak 1 Januari 2025 sehingga 16 Julai 2025, KPDN Negeri Sabah telah mengambil tindakan sebanyak 1,179 kes di bawah pelbagai undang- undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN Negeri Sabah dan jumlah nilai rampasan keseluruhan kes-kes terbabit adalah sebanyak RM 22,205,247.51 yang juga melibatkan sebanyak RM276,250.00 kes yang telah dikompaun.
“Dari segi aduan, sebanyak 1,112 aduan daripada pengguna telah diterima oleh KPDN Negeri Sabah sejak 01.01.2025 hingga 16.07.2025 dan 1,031 aduan (92.7%) aduan telah diselesaikan manakala 81 (7.3%) aduan lagi masih dalam siasatan.
“KPDN Sabah juga telah menjalankan sebanyak 82,322 pemeriksaan premis yang melibatkan 62,307 bandar dan 19,244 luar bandar.
“Orang awam dipohon agar sentiasa menjadi mata dan telinga Kerajaan bagi membantu Kementerian dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan ianya dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara,” ujar beliau lagi.
Shahril juga menyeru orang ramai untuk tampil bagi memberi sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga.
“Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan seperti berikut, whatapp 0192794317 / 0198488000, portal aduan http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1800886800, emel: e aduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre): 038882 6088 / 6245,” ujar beliau.
