Kerangka manifesto GRS ada dua komponen utama: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 parti itu bakal mempunyai dua komponen utama, dan akan diperhalusi untuk pertimbangan Majlis Kepimpinan gabungan itu sebelum diumumkan secara rasmi.

Katanya, mesyuarat pertama jawatankuasa khas menyediakan dan menggubal manifesto tersebut sudah diadakan dengan melibatkan kesemua lapan parti komponen GRS.

“Dua komponen dalam tunjang manifesto GRS bagi PRN Sabah ke-17 kelak adalah termasuk komponen yang berpaksikan kepada ikhtiar dan tekad ke hadapan GRS, dengan berteraskan empat perjuangan GRS sedia ada iaitu ‘Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United’.

“Kemudian, penilaian terhadap status kemajuan pelaksanaan usaha Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, yang juga menjadi bukti usaha serta komitmen kerajaan GRS dalam mengotakan janji dan meneruskan agenda pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Filem Pendek Sabah dan Tayangan Komersial Impak Maksima 2 di sini, malam tadi.

Armizan yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga memberitahu bahawa pertemuan bersama lapan wakil komponen parti GRS baru-baru ini adalah bertujuan untuk merangka manifesto parti itu.

“Untuk elemen pertama, kita akan kumpulkan semua ikhtiar GRS yang berada pada landasan perjuangan empat teras utama GRS, yang mana kita wujudkan sejak penubuhan GRS pada 2020.

“Teras-teras tersebutlah menjadi panduan utama kita bagi kerja-kerja merangka hala tuju negeri meliputi segala aspek termasuk perpaduan rakyat, pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial serta pemerkasaan Sabah dalam Persekutuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Armizan yang juga merupakan Ahli Parlimen Papar turut menjelaskan bahawa komponen kedua dalam manifesto itu ialah perincian kepada usaha meneruskan Hala Tuju SMJ 1.0.

Katanya, pencapaian itu akan dipersembahkan dalam dua bentuk, iaitu ‘walk the talk’ untuk menjelaskan inisiatif yang sudah dilaksanakan dan ‘work in progress’ bagi usaha yang sedang dalam pelaksanaan.

“‘Sabah United’ bukan cuma beri penekanan kepada  usaha menyatupadu rakyat, tapi ia juga merangkumi dasar dan pelaksanaan yang telah diluluskan bagi usaha mengukuhkan perpaduan serta keharmonian negeri.

“Semua komponen inilah yang akan dikemukakan kepada Majlis Kepimpinan GRS sebelum dimuktamadkan untuk dimasukkan dalam manifesto PRN Sabah ke-17 kelak,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen