31 PATI ditahan dalam lima operasi di Ranau

Oleh: Sumayyah Rihanna

RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperkukuh usaha penguatkuasaan apabila menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi lima operasi berasingan di sekitar daerah Ranau, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata operasi yang dilaksanakan melibatkan seramai 18 pegawai daripada Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan pemeriksaan dilakukan terhadap 39 individu.

“Hasil pemeriksaan, 31 orang ditahan kerana dipercayai melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata daripada jumlah tangkapan itu, seramai 18 adalah lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, semuanya warganegara Filipina.

“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. 

SH Sitti Saleha turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang bersubahat melindungi atau menggaji PATI.

Beliau pada masa sama menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berhubung kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa menangani isu tersebut secara berterusan.

Tinggalkan komen