Wanita terkorban, 14 cedera selepas Hilux terjunam dalam gaung

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala 14 lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Ladang Permai, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.53 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, PB Yusuf Kassim memaklumkan sebaik tiba di lokasi pukul 6.08 pagi, kesemua 15 mangsa iaitu tujuh lelaki dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tujuh wanita dewasa sudah dikeluarkan oleh orang awam yang membantu di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihak bomba kemudian membantu mengangkat semua mangsa ke atas jalan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. 

“Seorang wanita berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada polis.

“13 mangsa lain mengalami kecederaan manakala pemandu yang selamat turut dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya. 

Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.53 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal.

Tinggalkan komen