Cubaan seludup minyak masak dan petrol gagal

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Taktik licik empat lelaki warga asing menyeleweng barang kawalan negara tumpas apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya memintas dua bot laju di perairan Pulau Boheian, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi pada 15 Julai, sepasukan anggota botronda PPM Semporna yang menjalankan rondaan keselamatan di kawasan panas berjaya mengesan dua bot bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit membawa 680 kilogram minyak masak paket keluaran tempatan dan 2,005 liter petrol dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata, empat lelaki warga asing berusia 16 hingga 38 tahun ditahan dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, kejayaan itu hasil rondaan berterusan pasukan PPM dalam membanteras jenayah maritim termasuk penyeludupan barang kawalan, pencerobohan pendatang asing tanpa izin serta pelbagai aktiviti jenayah lain di perairan Sabah.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot laju yang digunakan dianggarkan mencecah RM79,260.25.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan keselamatan perairan negara terpelihara daripada ancaman jenayah yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tinggalkan komen