Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya bagi Pakej 1B yang baharu dimulakan pada hujung tahun lalu.
Beliau berkata, ketegasan itu diambil selepas mengambil kira kelewatan ketara yang berlaku pada Pakej 1A sebelum ini, termasuk kontraktor yang diberikan sehingga empat hingga lima kali lanjutan masa (EOT).
“Saya sudah menerima taklimat mengenai Pan Borneo termasuk Pakej 1A dan 1B. Saya ingin menegaskan supaya tiada lagi lanjutan masa akan diberikan kepada mana-mana kontraktor, tanpa mengira apa alasan mereka,” katanya.
Beliai berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebarang kelonggaran hanya akan membuka ruang kepada syarikat lain turut menuntut perkara sama, sekali gus menyebabkan keseluruhan projek terus tertangguh.
Katanya, perkara inilah yang berlaku dalam Pakej 1A yang diberikan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu dengan kelewatan sehingga dua atau tiga tahun, malah ada yang lebih lama.
“Rakyat yang terpaksa menanggung derita kerana jalan tidak siap dan tidak diselenggara dengan baik,” ujarnya.
Ahmad menjelaskan ketika ini Pakej 1A melibatkan 15 Work Package (WP), manakala Pakej 1B melibatkan 19 WP yang baharu sahaja dianugerahkan pada hujung 2024.
Beliau turut menyarankan agar semua kontraktor melaksanakan kerja lebih cepat daripada jadual.
“Projek yang dapat disiapkan lebih awal atau ahead of time (AOT) katanya, akan memberi keuntungan kepada semua pihak termasuk kontraktor, kerajaan dan rakyat.
“Sebagai contoh, jika kos operasi sebulan mencecah RM300,000 dan projek siap tiga bulan lebih awal, syarikat sudah menjimatkan RM900,000,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad mengingatkan bahawa sepanjang tempoh kerja dijalankan, tanggungjawab menyelenggara jalan terbabit terletak sepenuhnya di bawah kontraktor Pan Borneo, bukannya syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan.
“Jika jalan tidak diselenggara, ia akan rosak dan menyusahkan pengguna untuk tempoh yang lama. Kita tidak mahu rakyat terus terbeban kerana kelewatan projek,” tegasnya lagi.
Beliau turut memberi peringatan bahawa di bawah pentadbiran beliau bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang alasan remeh daripada kontraktor yang cuba mendapatkan EOT.
“Saya beri amaran awal, jangan buat alasan itu dan ini. Kita tidak mahu EOT sewenang-wenangnya. Apa yang kita mahu ialah prestasi dan integriti dalam pelaksanaan projek,” katanya lagi.
