Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ketua-ketua kampung disaran memainkan peranan yang lebih proaktif bagi memastikan tidak ada penduduk kampung yang terlepas daripada menerima bantuan kerajaan.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata JPKK dan ketua kampung adalah antara pihak paling penting dalam membantu kerajaan menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengambil kira latar belakang politik.
Menurut beliau, JPKK dan ketua kampung bukan hanya berperanan menyuarakan keperluan pembangunan di kawasan masing-masing tetapi juga harus memastikan kebajikan penduduk sentiasa terjaga.
Katanya lagi, kedudukan mereka yang lebih dekat dengan masyarakat membolehkan segala isu disalurkan dengan lebih cepat kepada pihak berwajib.
“JPKK dan ketua kampung lebih mengetahui keperluan masyarakat setempat.
“Sampaikan maklumat kepada pihak bertanggungjawab supaya rakyat tidak terlepas daripada menerima bantuan,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada 25 keluarga di Mukim Silabukan, semalam.
Abdul Hakim berkata program turun padang seumpama itu bukan sekadar untuk menyalurkan bantuan tetapi juga untuk melihat sendiri keadaan hidup rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk JPKK, ketua kampung dan pemimpin setempat supaya tiada penerima yang terpinggir.
Dalam pada itu, beliau menyarankan badan kebajikan seperti Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya lebih kerap turun padang untuk mengenal pasti penduduk yang benar-benar memerlukan tetapi tidak tahu cara memohon bantuan.
“Kita tahu Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan aktif membantu rakyat, cuma saya berharap usaha turun padang dapat ditingkatkan supaya tiada yang terlepas pandang,” katanya.
Beliau turut menambah masih ramai penduduk yang memerlukan bantuan tetapi tidak tahu saluran untuk membuat permohonan.
