Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi peringatan tegas kepada kontraktor yang melaksanakan projek gantian bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Lahad Datu supaya menyiapkan kerja mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi akan mempertimbangkan sebarang permohonan lanjutan masa (Extension of Time – EOT) dan mahu projek berkenaan disiapkan sepenuhnya menjelang 22 Julai 2026 seperti yang ditetapkan.
“Saya telah arahkan pihak kontraktor untuk mempercepatkan kerja dan mengelakkan kelewatan.
“Mereka juga digalakkan membuat tuntutan bayaran lebih daripada sekali sebulan bagi mempercepatkan aliran kewangan projek.
Selain itu, kaedah Deed of Assignment (DOA) juga digalakkan supaya pembayaran boleh dibuat terus oleh kerajaan kepada pembekal,” katanya selepas melakukan lawatan tapak dan meninjau kemajuan projek berkenaan, di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan agar kelulusan bahan binaan diproses segera oleh perunding atau pegawai penyelia (SO) bagi memastikan tiada halangan yang boleh menjejaskan kemajuan kerja.
“Projek yang dilaksanakan di bawah Program Sekolah Daif Sabah ini merangkumi pembinaan semula 26 bilik darjah, empat unit rumah guru (kelas F), bangunan pentadbiran, tandas serta pelbagai kemudahan asas lain yang lebih kondusif dan selamat.
“Projek berkenaan yang bermula pada 5 April 2022 kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 35 peratus dan dijangka mampu menampung sehingga 3,000 murid pada masa hadapan berbanding 1,904 murid ketika ini,” katanya.
SK Pekan Lahad Datu yang dibina sejak tahun 1937 merupakan antara sekolah tertua di daerah ini dan kini menempatkan 119 guru serta 19 kakitangan sokongan.
Justeru, Ahmad menyifatkan pembinaan semula sekolah itu dengan kemudahan yang lebih moden dan selesa sebagai satu keperluan mendesak.
“Projek tersebut dilaksanakan secara reka bentuk konvensional dengan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Saya ingin menggesa dan menegaskan agar pemantauan rapi dan pemeriksaan berkala oleh JKR diteruskan secara konsisten bagi memastikan projek siap mengikut jadual, kos dan kualiti yang ditetapkan.
“Kementerian Kerja Raya berharap tiada lagi kelewatan. Setiap pihak perlu bertanggungjawab dan memberi komitmen penuh agar projek ini dapat memberi manfaat segera kepada murid dan warga pendidik di SK Pekan Lahad Datu,” ujar beliau lagi.
