Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga di Sabah dengan nilai keseluruhan lebih RM260 juta adalah usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pengguna menikmati bekalan elektrik yang stabil dan efisien.
“Untuk kesemua tujuh projek ini, kita fokus kepada kerja-kerja naik taraf pencawang, sambungan talian grid baru dan sistem pemantauan keselamatan bagi menjamin bekalan elektrik yang lebih diyakini untuk seluruh Sabah hingga Labuan.
“Dan untuk itu, hari ini kita bersama di sini di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU) yang mana merupakan projek penting dibawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) bersama PETRA Skuad Sabah 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi sidang media selepas Sesi Penyerahan Tujuh Projek Siap PPKBES, PETRA kepada Kerajaan Negeri Sabah, di sini, petang tadi.

Menurut Fadillah, projek PMU KKBU adalah sebuah insiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bagi pengguna sekitar kawasan Tanjung Aru dan Kota Kinabalu yang melibatkan pembinaan sebuah bangunan yang menempatkan kelengkapan suis penebat gas 132kV dan 33kV (GIS) serta transformer 132/33/11kV.
“Dalam masa yang sama, enam lagi projek yang berjaya disiapkan adalah Projek Sambungtara 132kV Labuan-Sipitang (Fasa 1: Naik taraf PMU Beaufort ke 275kV)- Pakej 2 yang bernilai RM32.92 juta, melibatkan pembinaan menara talian 275kV sepanjang tujuh kilometer dari PMU Mengalong ke sempadan Sindumin, Sabah ke Lawas, Sarawak yang dijadualkan akan siap tahun ini, yang diselenggarakan oleh Sarawak Energy.
“Kemudian, Projek Pembahagi Utama (PPU) 33/11kV Ranau bernilai RM31.3 juta yang mana membantu mengurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel berkapasiti 18MW, serta PPU Batu Sapi dengan nilai RM30.02 juta yang mengukuhkan sistem pembahagian 33kV dan 11kV di sekitar Sandakan.
“Selain itu, Projek Protection On-Line Monitoring pula melibatkan kerja-kerja komunikasi dan naik taraf geganti perlindungan dengan kos RM42 juta, merangkumi pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 15 kilometer dari Kampung Lambidan, Menumbok ke Tanjung Aru, Labuan,” katanya lagi.
Tambah Fadillah lagi, Projek PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan nilai RM50.011 juta turut berjaya meningkatkan kapasiti beban dari 93.51MW kepada 131.60MW.
“Lebih 5,000 pengguna menerima manfaat secara langsung dari projek ini dan juga bersedia untuk menerima beban tambahan termasuk dari Hospital UMS.
“Akhir sekali, Sistem Pengukuhan 11kv Labuan yang bernilai RM6.3 juta pula melibatkan kerja-kerja naik taraf sistem perlindungan di PPU Rancha-Rancha serta meningkatkan keupayaan sistem untuk menyokong pembangunan baru di Labuan,” tambahnya.
Fadillah menegaskan bahawa pelaksanaan projek-projek PETRA menerusi PPKBES dilihat memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah dan Labuan.
“Ini sekaligus menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna di seluruh kawasan terlibat, seiring dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tenaga di Sabah dan Labuan,” ujar beliau lagi.
