Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Sebuah rumah di Batu 8, Jalan Sin Onn Tiku di sini ranap dalam kebakaran awal pagi tadi yang turut menyebabkan empat buah kenderaan hangus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.03 pagi menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi sejauh 14 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Rosliee Suyut memaklumkan sebaik tiba di lokasi pada pukul 4.20 pagi, rumah jenis tidak kekal berkeluasan 27×30 kaki itu sudah terbakar hampir 100 peratus.
Kebakaran turut memusnahkan tiga kenderaan iaitu Proton Persona, Proton Saga VVT dan sebuah motosikal SYM yang semuanya hangus terbakar manakala Proton Iswara pula terbakar kira-kira 20 peratus.
Seramai 14 anggota bersama dua jentera FRT dan sebuah EMRS terbabit dalam operasi memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran hose reel dan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.05 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.41 pagi.
