KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu bahawa penyelesaian kepada hasil Sabah sebanyak 40 peratus akan diumumkan dalam sesi mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadualkan akan berlangsung 12 September depan.
“Cadangan ini memenuhi tuntutan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas MA63 yang telah saya dengar hari ini, membentangkan cadangan penyelesaian daripada Kerajaan Sabah.
“Cadangan itu turut menerima maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi mesyuarat yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurut Fadillah, mesyuarat teknikal itu diadakan dengan tujuan untuk menyusun semula cadangan penyelesaian, termasuk cadangan interim, sebelum dibentangkan kepada Anwar, untuk diputuskan secara rasmi dalam mesyuarat Majlis MA63 nanti.
“Kita faham ada isu undang-undang yang sedang berjalan, termasuk kes yang difailkan Majlis Peguam Negeri Sabah.
“Untuk itu, kita kena hati-hati, dan matlamat utama adalah mendapatkan penyelesaian bersama, luar dari bidang mahkamah,” ujar beliau lagi.
