Oleh: Sumayyah Rihanna
KUNAK: Parti Warisan menegaskan akan terus bergerak solo tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain walaupun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke17 nanti.
Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, fokus utama parti itu ketika ini adalah mempertahankan kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini serta menambah bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk Kerajaan Negeri.
“Kita perlu mempunyai mentaliti menang. Maksudnya, kita yakin dan kita perlu meletakkan keyakinan itu kepada rakyat bahawa dalam situasi yang berlaku hari ini, saya yakin Warisan boleh melepasi angka 37 kerusi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Azis berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi sembang santai bersama komuniti Kunak semalam.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Datuk Mohammad Yusof Apdal yang menegaskan DUN Kunak akan terus dipertahankan oleh Warisan dengan meletakkan calon terbaik pada PRN akan datang.
Menurut Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu, sokongan rakyat di Kunak kekal utuh walaupun berlaku peralihan wakil rakyat sebelum ini.
“Kunak memang kerusi kita semasa PRN-16 lalu. Malangnya, ada yang tidak setia kepada perjuangan. Namun, kita lihat sokongan rakyat di Kunak terhadap Warisan tetap kukuh dan mereka masih setia bersama kita,” katanya.
Dalam majlis sama, seramai 500 ahli baharu dari lima cawangan di Kunak turut menyerahkan borang keahlian mereka kepada Parti Warisan sebagai tanda sokongan kepada parti tersebut.
