Warga asing ditahan, ugut tetak ahli keluarga

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas bertindak mengamuk sambil membawa kayu dan mengugut untuk menetak penghuni sebuah rumah di Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, suspek berusia dalam lingkungan 40an yang juga sepupu kepada isteri mangsa dipercayai tiba-tiba berang tanpa sebab dan mengancam mahu mengambil parang untuk mencederakan ahli keluarganya sendiri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 12.56 tengah malam sebelum sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Suspek berjaya ditahan bersama sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa.

“Kayu tersebut berukuran kira-kira tiga sentimeter lebar dan 70 sentimeter panjang turut dirampas untuk dijadikan bahan bukti,”katanya.

Hasil semakan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada dalam negara tanpa dokumen sah.

Jasmin turut menasihati orang ramai agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan insiden jenayah atau situasi mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Tinggalkan komen