Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang wanita bertindak agresif dengan menyerang pemilik premis dan mengugut mahu membakar kedai selepas berang apabila tuan kedai enggan menyambung kontrak sewa di Taman Semarak, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, mangsa yang juga seorang wanita berusia 36 tahun didatangi suspek bersama empat lelaki lain ketika berada di dalam premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek bukan sahaja memukul dan menendang mangsa, malah turut mengugut tidak akan melepaskan mangsa sekiranya bertemu di luar.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian berhubung kontrak sewa yang dijangka tamat Ogos ini.
“Susulan laporan polis, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan dua individu, termasuk rakan suspek iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun, di IPD Tawau kira-kira pukul 4.30 petang hari sama,” katanya.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala suspek lelaki mempunyai empat rekod berkaitan kes dadah dan khianat.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu atau menggunakan keganasan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
