Pertikai kepimpinan Bung di Lamag, hal yang tidak berasas: Salleh

KINABATANGAN: Pengarah Kempen Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mencabar kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Bung Moktar Rasin di Lamag adalah tidak berasas dan tidak lebih daripada angan-angan politik.

“Cubaan menumbangkan Bung di Lamag hanyalah satu ilusi politik.

“Rakyat Lamag amat mengenali Bung dan mereka telah menyaksikan sendiri perubahan besar yang beliau bawa ke Kinabatangan, sebuah kawasan yang dahulunya terpinggir, kini dikenali di peringkat kebangsaan kerana kemajuan pesat dalam pembangunan, infrastruktur, dan peranan politiknya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir dalam Program Radu Tatap Radu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Buang Sayang, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Lamag di sini, hari ini.

Menurut ADUN Usukan itu juga, Bung adalah seorang pemimpin yang fokus dan memberikan tumpuan dalam usahanya di kawasan dan berkhidmat untuk rakyat. 

“Selaku Ahli Parlimen Kinabatangan, bukan sahaja tokoh penting di Lamag tetapi juga antara pemimpin utama yang lantang memperjuangkan suara Sabah di peringkat nasional.

“Pengalaman luas, keberanian, serta komitmen Bung yang teguh terhadap rakyat amat jelas.

“Dari projek naik taraf jalan luar bandar dan bekalan air bersih, hingga memastikan isu-isu Kinabatangan mendapat perhatian di peringkat persekutuan serta beliau sentiasa komited dan konsisten dalam menyampaikan hasil,” katanya lagi.

Salleh juga memberitahu bahawa sokongan rakyat Lamag terhadap kepimpinan Bung nyata dapat dilihat dari penglibatan mereka dalam setiap aktiviti yang dijalankan untuk akar umbi.

“Ini bukan sekadar satu acara masyarakat, ia adalah manifestasi sokongan dan kepercayaan rakyat.

“Kepimpinan Bung bukan sahaja dihormati, malah terus mendapat tempat di hati rakyat. Lamag kekal sebagai kubu kuat Barisan Nasional, dan rakyat sudah jelas siapa yang mereka yakini untuk terus memperjuangkan masa depan mereka,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen