Padah ugut guna isyarat lucah, lelaki ditahan polis

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki memandu secara cuai dan bertindak biadab dengan menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya lain di persimpangan Jalan Kobuta, Batu 3, Jalan Apas, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada 9 Julai kira-kira pukul 1 petang ketika mangsa, seorang juruteknik wanita, memandu kenderaan Perodua Ativa dari arah Jalan Apas sebelum sebuah Perodua Myvi keluar dari simpang secara tiba-tiba.

“Tindakan suspek memaksa mangsa membrek secara mengejut dan membunyikan hon sebagai isyarat amaran. 

“Namun suspek kemudian turun dari kenderaan, menunjukkan isyarat lucah dan mengugut mangsa sambil mencabar untuk bergaduh,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasa bimbang keselamatan dirinya bertindak membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek di hadapan sebuah penginapan di pusat bandar kira-kira pukul 2.50 petang semalam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan Akta Dadah Berbahaya Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) di Papar, Kuala Lumpur dan Tawau,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Dalam masa sama, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengawal emosi ketika berdepan situasi tegang bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mendatangkan bahaya atau tindakan undang-undang.

Tinggalkan komen