Media pemangkin kejayaan PETRA, tunjang pembangunan Sabah: Fadillah

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan media adalah tunjang penting yang membantu PETRA memperkukuh agenda pembangunan Sabah.

“Sabah terus membuktikan keindahan dan keunikannya apabila berjaya menarik lebih 3.1 juta pelancong pada 2024, meningkat berbanding 2.6 juta pelancong pada tahun sebelumnya.

“Kejayaan ini bukan semata-mata hasil inisiatif kerajaan negeri dan kementerian berkaitan, sebaliknya turut bergantung kepada sumbangan besar pengamal media yang memainkan peranan penting mempromosikan Sabah ke peringkat antarabangsa,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media 2025 yang diadakan di sini, malam ini.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih mampu meningkatkan keyakinan pelabur dan pelancong terhadap tahap keselamatan serta kestabilan negara.

“Kerajaan komited untuk memastikan kebebasan media terus terjamin apabila Malaysia berjaya melonjak ke kedudukan ke-88 Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 berbanding tangga ke-107 sebelum ini, membuktikan usaha berterusan membina ekosistem media yang lebih bebas dan progresif,” katanya lagi.

Fadillah turut memaklumkan, sehingga Jun lalu, Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA telah menyalurkan peruntukan melebihi RM8.7 bilion untuk melaksanakan 86 projek pembangunan di Sabah di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Pembangunan Sabah bukan hanya tanggungjawab negeri tetapi juga menjadi amanah seluruh rakyat Malaysia sejajar dengan visi Kerajaan MADANI untuk memastikan Sabah terus seiring membangun bersama wilayah lain dalam keluarga Malaysia,” katanya. 

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media di Sabah atas dedikasi mereka dalam menyampaikan maklumat yang tepat meskipun berhadapan pelbagai cabaran dan kekangan.

Beliau berharap Sabah akan terus maju jaya dengan sokongan media yang telus dan rakyat yang bersatu hati bagi memastikan kesejahteraan negeri dan negara dapat diperkukuh bersama.

Tinggalkan komen