Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Jentera akar umbi tetap menjadi tulang belakang utama dalam memastikan segala dasar dan perancangan parti dapat dilaksanakan demi rakyat.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, jentera di peringkat bawahan bukan sekadar menyampaikan agenda parti, malah berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ bagi mendengar denyut nadi rakyat.
“Sambil menyelam, minum air. Sambil jalankan gerak kerja parti, kita selami juga keadaan rakyat dan bawa suara mereka ke peringkat pimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra bersama ahli-ahli baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Teluk Soaian, di sini, semalam.
Mizma yang juga Ketua Wanita GRS Zon 6B turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat Bahagian Silam sentiasa menggerakkan jentera akar umbi bagi memperkukuh parti dan menjaga kebajikan masyarakat.
“Kehadiran mereka di lapangan bukan hanya menguatkan semangat kebersamaan, malah memupuk kepercayaan rakyat terhadap parti,” jelasnya.
Beliau turut menyeru semua ahli untuk terus komited dan berganding bahu, kerana kekuatan parti bukan hanya bergantung pada pucuk pimpinan tetapi juga keutuhan jentera yang sentiasa bekerja tanpa mengenal penat lelah.
Dalam majlis sama, beliau mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baharu di kawasan Silam, sekali gus menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap usaha GRS membangunkan Sabah dan menjaga kesejahteraan rakyat.
