Hantar isyarat kepada mereka, rakyat Sabah adalah penentu: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa usaha merintis perubahan landskap politik Sabah adalah perlu ditentukan oleh rakyat Sabah dan parti tempatan Sabah.

“Saya fikir kita perlu melihat nilai dan makna di setiap apa yang berlaku dan kita dapat dengar dalam ucapan mereka menyebut kita angkat Hajiji menjadi wakil rakyat, kita pilih Hajiji menjadi Ketua Menteri, maka ke depannya, inilah yang perlu kita rintis perubahan dalam politik Sabah. 

“Ke depan, sudah tiba masa kita hantar isyarat, bahawa the master is not there, the master is here, the ultimate master is the rakyat of Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media di sini, hari ini.

Armizan menyatakan pendapat peribadi beliau berkenaan kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang mengumumkan untuk menolak usaha kerjasama dengan GRS.

“Kita perlu berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana beliau memudahkan urusan kita.

“Pertama, tanpa kita perlu jelaskan, beliau secara langsung memaparkan hakikat bahawa tidak pernah ada cadangan kerjasama di antara kedua-dua pihak.

“Kedua, ini memudahkan kerja kita kerana, GRS tidak perlu membuat kenyataan menolak kerjasama dengan pihak-pihak tertentu, nanti kita nampak angkuh dan sombong. Biar orang lain bercakap, dan kita alu-alukan,” katanya. 

Tambah Armizan, tindakan PN tersebut sebenarnya memudahkan urusan GRS sekaligus memberi imej positif kepada GRS.

“Setakat ini urusan kita lebih mudah, tanpa kita minta, Barisan Nasional (BN) Sabah dan terkini PN telah menyatakan pendirian menolak GRS.

“Yang penting kita jalan terus, yang penting adalah ikhtiar mendapatkan sokongan rakyat, bukannya mana-mana blok gabungan lain,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Armizan juga menjelaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk mengulas lanjut berhubung kenyataan Tan Sri Muhyidin.

“Dalam politik, saya dididik untuk mengelakkan bercakap berkaitan individu, apatah lagi bila menyentuh seorang mantan Perdana Menteri yang amat dihormati.

“Berada dalam gabungan dan parti nasional, pasti akan ada sentimen sebegitu dan ini kerana, untuk menjadi calon pilihan raya, pilihan dan watikah akan dikeluarkan oleh pimpinan dari Semenanjung Malaysia. 

“Calon Ketua Menteri pula adalah daripada ketua pimpinan di negeri, yang dilantik oleh juga pimpinan dari Semenanjung Malaysia, maka, siapa juga dipilih akan dituntut untuk setia dan patuh kepada pimpinan utama parti di sana,” tambahnya lagi.

Jelas Armizan, situasi berbeza dengan parti lokal, dimana calon-calon diputuskan dan watikah dikeluarkan oleh ketua parti lokal sendiri.

“Di sini, Ketua Menteri adalah kalangan ketua parti-parti lokal yang dipilih oleh orang kita di Sabah sendiri,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen