Oleh: Zacherlyn Ad
PENAMPANG: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Diri, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 dijangka bakal menjadi rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan insiatif dan aktiviti berkaitan kepenggunaan dalam negara.
“Kita akan memperincikan peranan dan tanggunhjawab setiap pemegang taruh, sama ada secara langsung atau tidak yang berkaitan dengan skop pengguna.
“Hubungan antara pelbagai pemegang taruh ini penting untuk memastikan keberkesanan terhadap pelaksanaan undang-undang perlindungan pengguna serta penyampaian maklumat yang tepat dan menyeluruh ke arah pembentukan pengguna Malaysia yang berdaya upaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita dalam sidang media semasa hadir pada Confest 2025, Festival Pengguna di sini, hari ini.
Menurut Armizan, DPN2.0 juga dirangka untuk mengukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran semasa khasnya bagi ekosistem kepenggunaan.
“Antara cabaran utama termasuklah kelonggaran dalam aspek kawal selia dan penguatkuasaan, tahap celik pengguna yang rendah sehingga terdedah kepada eksploitasi, penggunaan produk yang tidak mematuhi standard keselamatan atau tidak mesra alam, penipuan dalam transaksi pembelian serta penyalahgunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, dasar ini juga menekankan isu kos sara hidup rakyat melalui pendekatan dasar yang inklusif dan responsif.
“Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuklah pelaksanaan Program Payung Rahmah Madani, peluasan penggunaan Portal Ihsan Madani sebagai rujukan maklumat harga dan barangan keperluan serta penggunaan indikator kos sara hidup sebagai panduan perbelanjaan pengguna,” jelasnya.
Armizan juga memberitahu bahawa DPN2.0 itu bakal dimuktamadkan menjelang akhir tahun 2025.
Dalam pada itu, Armizan juga berkongsi bahawa ahli Skuad Kita Pengguna (SKiP) adalah rakan strategik KPDN dalam usaha menggerakkan advokasi kepenggunaan di seluruh negara.

“SKiP membantu kementerian dalam usaha mendidik masyarakat untuk menjadi pengguna yang berdaya upaya yang tahu hak, serta berani untuk mengambil tindakan selaras dengan perundangan atau peraturan sedia ada.
“Selain itu, SKiP juga mewakili setiap lapisan masyarakat seperti sektor awam, swasta, persendirian, pertubuhan dan lain-lain untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan mendidik masyarakat berkenaan kemahiran kepenggunaan.
“Dan pastinya, ini juga meliputi aspek menjalankan program serta aktiviti bersama sektor swasta, pertubuhan dan masyarakat kampung atau pedalaman agar advokasi atau mesej kepenggunaan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Selain itu, Armizan turut berkongsi bahawa KPDN turut meletakkan sasaran untuk mencapai jumlah pendaftaran ahli seramai 25,000 orang.
“Ahli SKiP akan digerakkan sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan dalam menangani isu-isu kepenggunaan secara lebih responsif dan inklusif sekaligus menjadi teras kepada keberkesanan pelaksanaan DPN2.0,” ujar beliau lagi.

Seramai 900 peserta terdiri daripada pelajar sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi daripada lima zon termasuk Utara, Selatan, Tengah, Timur dan Borneo hadir memeriahkan Confest 2025, Festival Pengguna yang berlangsung sejak Jumaat (11 Julai).
