Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) berganding bahu dalam usaha membina sebuah aplimasi baru yang berpotensi untuk membantu pendaki gunung khasnya dalam radius 40 kilometer pendakian.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, jalinan kerjasama itu wujud dalam bentuk penyelidikan bersama yang dimulakan sejak tahun 2024.
“InsyaAllah, tahun depan, 2026, aplikasi ini akan siap dan tempoh masa dua tahun projek kajian bersama ini kita jayakan khas untuk mewujudkan aplikasi yang mana membawa elemen inovasi dan belum pernah wujud sebelum ini.
“Untuk pengetahuan, projek ini dijalankan adalah untuk membantu pendaki yang mahu mendaki tetapi tidak cergas dan tidak menjalanan rutin latihan seperti pendaki yang aktif staminanya.
“Aplikasi ini kelak dapat membantu pendaki kita yang mempunyai masalah kesihatan, yang sesat dan keliru dengan lokasi, jangan bimbang, aplikasi yang kita kaji untuk wujudkan inilah akan menjadi alat yang boleh menjamin lokasi tepat titik pendaki berada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Menurut beliau, inovasi teknologi aplikasi itu juga mempunyai kemampuan untuk mengenalpasti laluan-laluan kampung dan berpotensi untuk memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.
“Laluan ini sudah ada dan penyelidik kita sudah melaluinya sepanjang proses penyelidikan ini berlangsung dan kita yakin ini mampu menjadi destinasi baru yang boleh dikomersialkan dalam sektor pelancongan Sabah,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa YIM juga komited dalam usaha untuk membawa pelbagai program inovasi kepada komuniti.
“Kita bernaung di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk mencari inovator fi seluruh negara.
“Inovator-inovator itu pula perlu kreatif dan memiliki nilai inovasi dalam produk yang dihasilkan, dan kita akan bantu, untuk mereka perluaskan pasaran.
“Untuk Sabah, kita ada 11 peserta dan empat yg terbaik kita pilih dan berikan dana serta penyelidik kita turun padang untuk pantau,” jelasnya.
Setiap peserta diberi peruntukan dalam bentuk geran dengan nilai RM80,000 dan boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Hari ini bersama kita Pengasas Chanteek Borneo Sdn. Bhd., Anne Antah yang juga merupakan peserta kita dengan kepakaran bidang tekstil serta jahitan bermotifkan etnik tempatan Sabah.
“Dari awal hingga sekarang, kita pantau dan lihat, memang Chanteek Borneo sangat konsisten dalam menerapkan elemen inovasi dalam perniagaan mereka dan kerana itu YIM bercadang untuk mempertemukan juga Puan Anne dengan satu lagi inovator kita dari Kedah yang membuat batik bermotifkan bulan serta bunga padi.
“Kita percaya, kemahiran dan kepakaran Puan Anne akan mampu diperluaskan dengan perkongsian ilmu kepada inovator-inovator lain, insyaAllah,” ujar beliau lagi.
