Usaha seludup 17,000 liter diesel subsidi gagal

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih 17,000 liter minyak diesel bersubsidi di kawasan Felda Umas hasil maklumat orang awam, malam tadi.

Operasi khas yang dijalankan sekitar pukul 10.40 malam itu, telah membawa kepada penahanan sebuah lori tangki sebelum pemeriksaan menemui diesel bernilai dianggarkan RM296,550.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras penyeludupan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tinggalkan komen