SUKAU: Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyatakan keyakinan penuh bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai potensi untuk mengekalkan kerusi di DUN Sukau.
“Kita yakin dengan prestasi cemerlang BN di kawasan ini, insyaAllah, kita pasti mampu mengekalkan kerusi DUN Sukau.
“ADUN Sukau telah menjalankan amanah dengan baik dan semua usaha sert komitmen beliau di peringkat akar umbi jelas dirasai rakyat.
“BN yakin pengundi akan terus memilih wakil yang benar-benar bekerja untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Program Jelajah Radu Tatap Radu yang berlangsung di Daerah Mengundi Sukau, di sini, malam tadi.
Menurut Salleh yang juga merupakan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, rakyat Sabah mahukan kestabilan dan kemajuan, dan tidak mahu terus melihat permainan politik yang tidak berkesudahan.
“Rakyat ingin melihat kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan, pekerjaan dan kesejahteraan.
“BN, bersama Pakatan Harapan (PH) dan parti tempatan yang bertanggungjawab, bersedia menawarkan kepimpinan seperti itu,” katanya lagi.
Lebih 500 orang penduduk tempatan, termasuk ramai penyokong muda yang hadir memberikan sokongan penuh semasa program berlangsung.
Dalam pada itu, Salleh juga mengingatkan semua pihak berkenaan mesej utama kempen BN di Sabah.
“Mesej kita jelas, Sabahan No. 1 bukan sekadar slogan m, ia adalah komitmen kami.
“Rakyat Sukau dan seluruh Sabah berhak mendapat kerajaan yang mendengar suara mereka, menunaikan janji, dan menghormati harapan mereka,” jelas Salleh.
Hadir sama ialah ADUN Sukau Datuk Jafry Arifin, serta pemimpin-pemimpin tempatan.
Program Jelajah Radu Tatap Radu akan diteruskan ke seluruh Sabah dengan tumpuan kepada penyertaan akar umbi, khususnya golongan belia dan pengundi kali pertama.
