16 projek pembangunan Kampung Angkat Madani siap

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: 16 projek pembangunan fizikal bagi Program Kampung Angkat Madani Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di Mukim Kaiduan siap sepenuhnya dan mula dimanfaatkan okeh penduduk kampung.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kampung angkat itu sudah dipilih sebagai kampung angkat kementerian dan dilancarkan secara rasmi pada 24 Mei 2024.

Armizan menandatangani Plak Mercu Tanda Kampung Angkat Madani Mukim Kaiduan

“Kita pilih Mukim Kaiduan, Papar ini kerana kita tengok kriteria, antaranya adalah tahap liputan kemudahan asas yang masih berada di bawah 50 peratus dan kita ingin pelaksanaan ini untuk mengisi usaha serta sesi libat urus bersama komuniti.

“Selain itu, melalui program seumpama ini juga, kita akan lebih faham isu dan keperluan sebenar serta penyediaan perkhidmatan bergerak daripada pelbagai agensi kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir dalam Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani di sini, hari ini.

Merakam kenangan bersama selepas menandatangani Plak Mercu Tanda

Menurut Armizan, setiap kementerian ditetapkan untuk memilih sebuah kampung sebagai Kampung Angkat Madani dan terdapat 43 kampung angkat terpilih seluruh negara.

“Kerajaan memperuntukkan RM107 juta bagi melaksanakan projek Kampung Angkat Madani dan untuk KPDN, kita pilih Mukim Kaiduan serta menerima peruntukan RM2.5 juta untuk tujuan pelaksanaan projek pembangunan,” katanya lagi.

Antara projek utama yang telah siap di Mukim Kaiduan adalah seperti membaik pulih jalan culvert, membina jambatan baru, naik taraf jalan Kampung Kaiduan, pembinaan jambatan baru Low Level Crossing (LLC) di Kampung Ulu Kaiduan, naik taraf jalan di Kampung Bisuang, pembinaan jambatan gantung baru ke SK Kaiduan, naik taraf gereja, balai raya dan pembinaan gelanggang sepak takraw baru di Kampung Bolotikon, membaik puluh jambatan gantung, membina laluan pejalan kaki berbukit, menabur batu kasaran di jalan utama Kampung Moliyoun, pemasangan lampu solar di Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikon.

Tambah Armizan lagi, projek Kampung Angkat Madani Mukim Kaiduan juga memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk.

Tinggalkan komen