KOTA KINABALU: Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan memberitahu bahawa pelaksanaan akta had umur belia perlu diteliti semula dan skop meluas perlu dilihat untuk memastikan cadangan itu relevan sebelum dapat dilaksanakan.
“Kita berpendirian tegas bahawa had umur belia antara 15 hingga 30 tahun yang digunapakai ketika ini masih belum lagi relevan dengan realiti pembangunan belia di Sabah.
“Apa yang perlu difahami dalam soal i i adalah situasi Sabah sendiri yang mana kita mempunyai ciri sosioekonomi yang berbeza, termasuk jurang akses pendidikan, kelewatan memasuki pasaran kerja, serta faktor geografi dan infrastruktur luar bandar yang memperlahankan proses pemerkasaan belia.
“Dalam konteks ini, ramai anak muda Sabah hanya mula mencapai kematangan sosial dan ekonomi selepas usia 30 tahun,” katanya dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Jelas beliau, isu kesediaan belia luar bandar, khususnya dalam aspek pendidikan dan kemahiran, masih menjadi cabaran utama yang perlu diperhalusi.
“Ramai belia di kawasan pedalaman menghadapi kelewatan menyempurnakan pendidikan asas atau tertiari akibat faktor logistik, kekurangan fasiliti, dan peluang akses yang terhad.
“Ini secara langsung melambatkan keupayaan mereka untuk menyertai pasaran kerja dan pembangunan masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abqaree juga berkata, had umur maksimum pada 30 tahun yang dikekalkan itu akan secara langsung mengecualikan segmen belia Sabah yang masih memerlukan sokongan dasar dan penyertaan aktif dalam program pembangunan.
“Untuk situasi Sabah, ini perlu diteliti semula, jadi kami mencadangkan agar had umur belia disemak semula kepada julat 15 hingga 40 tahun, bagi memastikan dasar dan program belia lebih inklusif, adil serta berpaksikan realiti semasa.
“Cadangan ini selaras dengan prinsip keterangkuman, pembangunan modal insan, dan pemerkasaan komuniti luar bandar seperti yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“MBS percaya, perluasan definisi ini akan membolehkan lebih ramai anak muda Sabah mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan belia secara menyeluruh dan berkesan,” ujar beliau lagi.
