Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar dengan rampasan bernilai lebih RM1.23 juta, termasuk dua kenderaan mewah, hasil beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan pertama telah dijalankan pada 4 Julai lalu sekitar pukul 7.45 malam di sebuah kondominium di pusat bandar, yang didiami seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
“Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sebuah beg berisi plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 790.56 gram dianggarkan bernilai RM25,000.
“Turut dirampas ialah mesin kira wang, penimbang digital dan peralatan membungkus dadah.
“Siasatan lanjut membawa kepada dua lagi serbuan susulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.

Tambah beliau, serbuan kedua pula dilakukan pada 5 Julai sekitar pukul 7.50 pagi di sebuah lagi kondominium yang turut disewa suspek dan membawa kepada penemuan 14.14 gram dadah disyaki jenis ketamin.
“Dalam serbuan ketiga pada hari sama sekitar pukul 11.30 pagi, polis memeriksa sebuah Toyota Yaris yang ditinggalkan di kawasan letak kereta awam berhampiran Sabah Art Gallery dan berjaya menemukan 12.7 kilogram syabu, 6.9 kilogram ketamin, 25 paket jus ekstasi serta 10 biji pil ekstasi,” katanya lagi.
Nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM960,000.

Dadah itu dipercayai untuk pasaran antarabangsa dan mampu menampung lebih 100,000 kali penggunaan oleh penagih.
“Selain dadah, polis turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan nilai sitaan keseluruhan RM270,000.
“Suspek kini direman sehingga 11 Julai di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” tambah Jauteh.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Jauteh berkata kejayaan itu turut membuktikan keberkesanan kerjasama bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah dalam membanteras pengedaran dadah.
“PDRM Sabah akan terus memperkukuh operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah, khususnya sindiket yang cuba menjadikan negeri ini sebagai laluan transit antarabangsa,”
“Komitmen kami adalah untuk melindungi masyarakat daripada ancaman dadah,” ujar beliau lagi.
