Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan Wilayah 4 Sabah bersama Penguat Kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Sandakan berjaya mematahkan cubaan sindiket memindahkan dan menyimpan minyak sawit mentah (CPO) serta minyak sawit diproses (PPO) menerusi satu operasi bersepadu di dua lokasi sekitar Sandakan, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim memaklumkan, dalam serbuan pertama yang dijalankan sekitar pukul 3.30 petang di bahu jalan antara Sandakan dan Kinabatangan, empat suspek berusia 20 hingga 45 tahun ditahan ketika sedang memindahkan CPO dari lori tangki ke sebuah tangki lain sebelum diangkut ke lokasi berbeza.
“Turut dirampas di lokasi berkenaan ialah dua buah lori tangki yang mengandungi CPO,” katanya ketika dihubungi media.
Tambah beliau, serbuan kedua di sebuah premis di Bandar Ramai-Ramai Sandakan turut menemukan sebuah lori tangki dan beberapa tangki simpanan yang berisi CPO serta PPO.
“Keseluruhan rampasan daripada operasi ini dianggarkan bernilai RM2,965,400 membabitkan 75,000 liter minyak sawit mentah dan minyak sawit diproses,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.
Menurut Mohd Nazri, sejak awal tahun hingga Julai 2025, PPM Wilayah 4 Sabah telah mencatatkan sebanyak 11 kes membabitkan 23 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM12.2 juta.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi di kawasan berisiko termasuk zon ‘hot spot’ yang bersempadan dengan perairan negara jiran, bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta sebarang cubaan penyeludupan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram yang merugikan negara menerusi Bilik Gerakan PPM Wilayah 4 di talian 088-454819 atau melalui laman Facebook rasmi PPM Wilayah 4 Sabah.
