Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Dua buah kereta musnah sebahagiannya dalam satu kejadian kebakaran di Palm Height Lorong 1, di sini malam tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.39 malam melalui talian Balai Bomba.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang diketuai Komander Operasi PBK I Mohammad Akbar Mohambar bersama 10 anggota bergegas ke lokasi sejauh kira-kira dua kilometer.
“Pasukan tiba hanya tiga minit kemudian pada jam 10.42 malam dan mendapati kebakaran melibatkan dua buah kereta iaitu Toyota Rogue dan Toyota Fortuner yang masing-masing terbakar 20 peratus.
“Kebakaran turut merebak sehingga membakar 5% bahagian siling garaj rumah,” katanya.
Difahamkan, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya lebih awal oleh pemilik kenderaan bersama orang awam menggunakan alat pemadam api jenis serbuk dan air baldi dengan sumber air dari kolam rumah.
Pasukan bomba seterusnya melaksanakan kerja-kerja overhaul menggunakan satu aliran hose reel dengan sumber air dari jentera bagi memastikan tiada lagi sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 10.50 malam dan ditamatkan pada pukul 11.19 malam selepas pasukan bomba memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat.
Dua jentera digunakan iaitu LFRT dengan enam anggota dan CFRT dengan empat anggota.
