Mahu jadi denyut nadi rakyat: Hajjah Balkis

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Exco Srikandi Bersatu Malaysia, Hajjah Balkis Kalinggalan, menzahirkan keyakinan dan tekad untuk memacu pembangunan konsisten serta memperkukuh kesejahteraan rakyat di seluruh daerah Lahad Datu.

Balkis yang juga merupakan Bendahari Srikandi Sabah memberitahu bahawa beliau komited untuk menjadi pemimpin mesra rakyat yang sentiasa dekat di hati masyarakat serta bertindak sebagai jambatan menyuarakan permasalahan rakyat ke peringkat lebih tinggi.

“In Shaa Allah, saya mahu Lahad Datu dikenali di seluruh pelusuk dengan pembangunan yang lestari dan rakyatnya berdaya saing, keutamaan saya adalah membantu rakyat.

“Kita mahu rakyat ada keupayaan untuk menjana pendapatan, khususnya anak-anak muda yang terkesan dengan isu pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, generasi muda Lahad Datu perlu digerakkan melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta galakan keusahawanan agar mereka dapat menyumbang secara aktif kepada ekonomi daerah.

“Pentint untuk generasi pelapis kita, golongan belia ini diperkayakan dengan pelbagai input kemahiran dan nilai keusahawanan kerana dengan cara ini, mereka dapat meneroka ruang ekonomi tersendiri.

“Untuk pengetahuan, saya juga bertekad dan berjanji untuk terus memperjuang hak dan peranan wanita di Lahad Datu selain memastikan isu-isu kebajikan keluarga sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

“Dengan sokongan padu seluruh warga Lahad Datu dan izin Allah SWT, saya yakin cita-cita kita untuk membangunkan Lahad Datu sebagai daerah yang maju, makmur dan sejahtera dapat direalisasikan bersama,ayuh kita bangkit dan majukan daerah ini untuk generasi akan datang,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk berani berubah dan memberi ruang peluang kepada pemimpin baharu pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah akan datang.

Tinggalkan komen