Lori simen rempuh pejabat, dua cedera ringan

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Sebuah lori mixer simen seberat 10 tan terbabas sendiri lalu merempuh sebuah bangunan pejabat syarikat KKRMC Trading Sdn Bhd di Jalan Apas Batu 5, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 8.50 pagi itu, seramai dua lelaki masing-masing berusia 60 dan 36 tahun dilaporkan cedera ringan. 

Seorang mangsa telah dikeluarkan orang awam dan dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah operasi diketuai oleh PBK II (KUP) Jehrey Ibno dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum tiba di lokasi pada pukul 9.03 pagi,”

“Jarak lokasi kejadian dianggarkan 10 kilometer dari balai, pasukan operasi terdiri daripada lima anggota bersama sebuah jentera FRT,” katanya.

Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.14 pagi.

Operasi turut mendapat kerjasama dua anggota KKM yang bertugas di lokasi.

Tinggalkan komen